Sayyidina Utsman dan Sayyidina Ali رضي الله عنهما ialah dua khalifah yang menghadapi cabaran fitnah.
Sayyidina Utsman menghadapi cabaran fitnah yang datang dari luar jemaah Islam, iaitu dari seorang Yahudi yang munafiq mengaku memeluk Islam, Abdullah bin Saba'.
Beliau menuduh bahawa Sayydina Utsman telah membakar Quran, kemudian mengamalkan sistem kroni dan nepotisme dengan melantik saudara-maranya menjadi penjaga di wilayah-wilayah yang baru ditakluki.
Sedangkan tindakan beliau membakar Quran itu adalah untuk men'syncronize'kan penulisan Quran, agar tidak berlaku kekeliruan dan menjaga keaslian Quran. Kemudian beliau menyuruh para Qurra' menulis kembali Quran dengan SOP penulisan yang telah disusunnya, yang sehingga kini SOP tersebut diguna-pakai, iaitu SOP penulisan Rasm Uthmani.
Kita dapat membaca Quran hari ini, semuanya berkat dari sistem penulisan yang telah dibuat oleh Sayyidina Utsman. Pahala kita membaca Quran, semua masuk ke dalam saham akhirat Sayyidina Utsman.
Manakala pelantikan saudara-maranya sebagai penjaga di beberapa wilayah, bukanlah disebabkan beliau mengutamakan keluarga atau kaum kerabat. Namun disebabkan ramai orang-orang yang layak memimpin daripada kalangan Quraisy, terdiri daripada kaum kerabat beliau sendiri. Oleh itu, beliau melantik mereka.
Lagi pula, wilayah yang mereka jaga, bukanlah wilayah yang stabil sangat pun. Wilayah yang baru ditakluki, faham-faham sajalah bagaimana keadaannya. Dengan huru-haranya, kacau-bilaunya, tak bersistemnya, tak terurusnya. Jadi, Sayyidina Utsman meletakkan mereka di situ, untuk menstabilkan kembali keadaan di sana.
Mereka bukannya memerintah di kawasan yang sudah sedia makmur. Banyak lagi kerja nak kena buat lepas perlantikan itu.
Namun, apakan daya. Rakyat a.k.a netizen ini, bukannya tengok sisi tersebut. Mereka hanya nampak sisi buruk yang digembar-gemburkan oleh si munafiq tadi.
Si munafiq itu pun bukannya mereka kenal sangat pun, tapi disebabkan isu yang dia bawa itu agak sensasi dan viral, mereka terus percaya secara membuta tuli. Itulah sifat netizen, dari dulu sampai sekarang. Mereka lebih percaya si munafiq berbanding dengan seorang sahabat Nabi, yang hidup matinya untuk agama Allah ini.
Sedangkan Allah berfirman:
{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَن تُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ }
[Surah Al-Ḥujurāt: 6]
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Kita pegang pada prinsip ini, dan kita juga cuba fahamkan umat akan prinsip ini. Orang beriman, sifatnya tidak gopoh menerima satu-satu berita. Kadang-kadang kita kena jadi macam Imam Bukhari رحمه الله, sangat berhati-hati dalam menerima apa-apa berita. Maklumlah, ahli hadis kan, silap terima cerita sikit, habis satu riwayat hadis tersebut jadi dhaif atau palsu.
Maka begitu juga beliau di dalam urusan duniawi yang lain. Pernah satu kali beliau 'redflag' satu orang ini, hanya disebabkan tertengok dia menangkap ayam dengan cara memberi makan dahulu, sebelum menelangkupkan sangkar ke atas ayam tersebut.
Tengok situasi tersebut, beliau terus tak nak dengar apa-apa berita daripada orang tersebut. Walhal bukannya buat apa pun. Hanya mengumpan ayam dengan helah saja. Itupun dia terus 'redflag'.
Kata beliau: "Jika ayam saja dia boleh menipu, maka tidak mustahil dengan manusia juga dia boleh menipu."
Tengoklah sifat taqwa dan berhati-hati yang ditunjukkan oleh para salafussoleh kita. Contohilah mereka, kerana mereka sebaik-baik hamba Allah yang hidup di atas muka bumi ini.
Begitulah sepatutnya kita dan begitulah sepatutnya para netizen atau masyarakat perlu bersikap. Dengan adanya teknologi yang ada, sudah tidak ada alasan lagi untuk kita tidak bertabayyun.