Salam 1 Zulhijjah: Allah Tidak akan Mensia-siakan Kita
Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan satu hadis yang panjang berkenaan bagaimana peristiwa bapa kita, Ibrahim as meninggalkan isteri baginda Hajar & Ismail di bumi Mekah yang tandus, tiada air, tanaman apatah lagi hidupan lain.
Hadis ni disampaikan melalui jalur Ibn Abbas ra dan Al-Imam Al-Bukhari memasukkannya dalam bab Para Nabi.
Ada beberapa kalimaat luar biasa yang tidak wajar kita abaikan dalam kisah yang bersejarah ini.
Terutamanya berkenaan sikap dan keimanan Hajar dalam berinteraksi dengan perintah Allah swt.
Ayuh kita semak keratan hadis ini;
ثُمَّ قَفَّى إِبْرَاهِيمُ مُنْطَلِقًا فَتَبِعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَقَالَتْ يَا إِبْرَاهِيمُ أَيْنَ تَذْهَبُ وَتَتْرُكُنَا بِهَذَا الْوَادِي الَّذِي لَيْسَ فِيهِ إِنْسٌ وَلاَ شَىْءٌ؟
Kemudian Ibrahim pun berangkat meninggalkan Hajar & Ismail. Lalu ia diikuti oleh Ummu Ismail seraya berkata,
"Wahai Ibrahim, ke mana engkau hendak pergi?
Apakah engkau membiarkan kami di lembah yang tiada seorang manusia pun di sini dan tiada apa apa?"
Begitulah sang isteri kebingungan, melihatkan kelibat si suami yang meninggalkan mereka sehelai sepinggang anak beranak tanpa sebarang pesanan mahupun nota ringkas.
Alangkah pilunya hati mengenangkan posisi Ummu Ismail ini.
فَقَالَتْ لَهُ ذَلِكَ مِرَارًا، وَجَعَلَ لاَ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَ
Ummu Ismail mengulangi pertanyaannya tetapi ternyata tiada respon. Ibrahim terus berlalu, tabahkan diri.
Kemudian Ummu Ismail mengagak dan bertanya sebagaimana berikut;
فَقَالَتْ لَهُ آللَّهُ الَّذِي أَمَرَكَ بِهَذَا قَالَ نَعَم
Lalu dia berkata, "Adakah Allah yang memerintahkan engkau tentang ini?"
Jawab Ibrahim "Ya".
Alangkah indahnya sangka baik Hajar ini.
Yang datang dalam fikiran dia ternyata bukan prasangka buruk kepada si suami, tetapi terus dapat "menangkap" bahawa ini adalah perintah Allah swt.
Respons beliau yang selanjutnya adalah yang wajib kita teladani;
ْ. قَالَت
Dia (Hajar) berkata
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا.
"Jika begitu, Dia (Allah) tidak akan mensia-siakan kita".
Subhanallah.
Jawapan yang penuh keimanan. Ringkas dan mantap.
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Begitulah Hajar bersikap tatkala mengambil sesuatu perintah dari Allah.
Meskipun perintahnya luar biasa, tidak logik pada pandangan manusia dan berkemungkinan memudaratkan. Tetapi dengan yakin, jika dari Allah, Dia tidak akan sia-siakan.
Begitulah saudara, sepatutnya kita mengambil keputusan dan perintah dari Allah.
Keputusan yang didasari neraca Quran, dakwah dan tarbiah tidak perlu dikhuatiri. Peluklah ia dengan ungkapan;
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Jika begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kita.
Selanjutnya, dengan kalimat ini, Hajar mengupayakan dirinya membina kehidupan di lembah tandus itu.
Dari sini bermula kisah lejen beliau berlari-lari anak antara Safa & Marwah untuk mencari bekalan air.
Kegigihan, pengorbanan dan keimanan Hajar ini sudah tentu mendapat perhatian langit dan mempunyai kedudukan tertentu dalam Islam.
Buktinya,
Berlari-lari anak dari Safa & Marwah dijadikan salah satu pelengkap ibadah Haji, yang dikerjakan oleh umat Islam yang berhaji. Supaya mereka mengenangkan Hajar & belajar meyakini seperti beliau.
Supaya kita semua beriman dengan kalimat;
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Para hamba yang mengambil arahan arahan dari Allah swt dengan kalimah ini akan dikenang, disanjung dan dijadikan sumber inspirasi.
Jika tidak oleh manusia di sekelilingnya, insya Allah oleh para makhluk di sisi Allah swt.
Ayuh semua. Tanggapi setiap ketentuan Allah untuk kita dengan ungkapan,
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا.
Sekiranya inilah takdir Allah bagi kita, jika inilah....
Nescaya Allah tidak akan mensia-siakan kita. Pastikan keputusan keputusan kita dilandasi dengan neraca ini. Neraca untuk tunduk, patuh dan menjalankan suruhan suruhan Allah.
Bukan neraca kepuasan diri. Bukan neraca persepsi orang lain apatah lagi neraca jahiliah.
Setelah itu, yakinlah.
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Salam Zulhijjah
Tarbiah Daily
Tiada Hari Tanpa Tarbiah