.:TENANG DALAM DEBARAN:.
BismilLah.
Telefon berdering,
“Selamat tengah hari, saya Aiman dari National Scam Response Centre (NSRC).”
Saya diam sejenak, menelan gugup yang tiba-tiba naik ke dada.
Menyesal pun ada sebab menjawab panggilan ini. Awalnya saya fikir panggilan ini mungkin daripada guru anak-anak di sekolah memandangkan aplikasi “TrueCaller” saya tidak menunjukkan ‘bendera merah’.
“Puan, kami ada aduan bahawa nombor anda digunakan untuk sebarkan pautan scam. Ada 10 aduan di Terengganu,” sambung beliau.
Nada suaranya tegas, meyakinkan. Saya cuba menarik nafas panjang, tapi degup jantung sudah laju … antara bingung, takut, marah dan cuba berfikir waras.
Dalam fikiran saya teringat kisah Nabi Musa a.s. berdepan ahli sihir Firaun dalam Daurah Surah TAHA bersama Ustaz Syaari Ab Rahman semalam.
🎬
Ahli-ahli sihir berpencak dengan kehebatan helah yang menggoncang pandangan manusia.
Tali dan tongkat mereka tampak hidup, “mengkhayalkan” mata ramai.
Namun Nabi Musa a.s. tetap tenang.
“أَلْقُوا۟ - Campakkanlah dahulu,” kata Nabi Musa a.s..
Tenang, bukan kerana tidak takut. Malah Allah rakamkan perasaan baginda pada ayat 67:
فَأَوْجَسَ فِى نَفْسِهِۦ خِيفَةً مُّوسَىٰ ٦٧
“Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.”
Baginda ditenangkan Tuhan dan tahu bahawa kebenaran tidak perlu berlawan dengan panik.
🎬
Saya cuba ikut jejak itu.
Dalam debaran, saya cuba bersuara sekadar berbasa-basi.
“Selalunya kalau panggilan rasmi, bukankah akan menggunakan talian tetap?.”
“Dan kalau benar ini panggilan rasmi, boleh saya lihat surat atau bukti aduan bertulis yang tuan katakan tadi?.”
Pemanggil di sana tiba-tiba berubah nada.
Marah. Meninggi suara.
Katanya saya tidak bekerjasama dan mahu laporkan perbuatan saya ini kepada pihak polis.
Hati saya kembali bergetar. Bukan takut pada mereka, tapi takut kepada Allah andai saya hilang adab dalam ujian ini.
Ketika itu saya sedar, mungkin beginilah rupanya wajah tipu daya (“sihir”) zaman moden.
Bukan tongkat bertukar ular, tetapi suara bertukar nada, sopan bertukar kasar …
mendesak penuh ancaman.
… berselindung di sebalik penyamaran.
Mereka mungkin bukan bermain sihir, tapi cuba bermain dengan emosi manusia.
cuba meruntuhkan rasa biar terlucut prinsip kebenaran.
Pemanggil di sana semakin marah kerana saya tidak memberi respons terhadap percakapannya. Rupanya, saya larut berfikir tentang hikmah ayat-ayat al-Quran yang telah saya lalui dalam kisah Nabi Musa a.s. semalam.
Saya cuma mampu membalas, “Baiklah.” Lalu saya memutuskan talian. Rasa berat beban hilang.
Melalui peristiwa ini, Allah ajarkan kepada saya bahawa iman bukan ketiadaan langsung rasa takut, tetapi keberanian untuk tetap teguh pada asas kebenaran.
Kerana dalam ketakutan itu, saya belajar bahawa
- kekuatan bukan datang daripada pengalaman lalu dalam bidang guaman,
- bukan jua daripada ilmu menggunung tentang helah sang penipu,
tetapi saya perlu sedar bahawa,
KEKUATAN DAN KETENANGAN ITU DATANG DARIPADA ALLAH, yang meneguhkan hati ketika dunia cuba menggoncangnya.
“Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya.”
وَٱللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰٓ … (Surah Taha:73)
Ilmu melatih kita berhati-hati.
Pengalaman menjadikan kita matang.
Tapi hanya Allah yang menenangkan hati.
Hanya Dia yang mampu “menelan” segala kebatilan dengan kebenaran.
SUNGGUH, HANYA ALLAH SUMBER KEKUATAN DAN KETENANGAN.
Dan seperti ahli sihir Firaun yang akhirnya sujud pada kebenaran, saya mendoakan agar suatu hari nanti, para ‘scammer’ di dunia ini juga akan disentuh cahaya wahyu Allah dan kembali menjadi ‘orang-orang yang membersihkan dirinya daripada perbuatan kufur dan maksiat - مَن تَزَكَّىٰ.’
Saya merenung perintah Allah kepada Nabi Musa a.s. supaya melepaskan apa yang ada DI TANGAN KANAN BAGINDA (وَأَلْقِ مَا فِى يَمِينِكَ - Ayat 69).
“Tangan kanannya” sebagai simbol kekuatan, keberanian dan keyakinan bahawa apabila sesuatu itu dilepaskan dengan nama Allah, maka tipu daya akan terhapus kerana Allah sentiasa ada bersama.
Ayuh kita lazimi doa yang diajarkan Nabi SAW: