"Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia disoal tentang umurnya ke mana dihabiskan, dan masa mudanya ke mana digunakan..." (Riwayat Tirmizi)
Pernah tak kita terfikir kenapa Nabi SAW sebut khusus tentang masa muda, sedangkan seluruh umur kita tetap akan dihisab? Saya lihat sebabnya jelas. Masa muda adalah modal paling besar dalam hidup kita. Waktu ini tenaga kita paling kuat, otak kita paling laju, dan pilihan banyak di tangan kita sendiri. Sebab itu Allah tanya secara spesifik, kerana pada fasa ini kita paling berkuasa untuk tentukan arah hidup kita. Nak bina sesuatu atau sekadar hanyut.
Waktu paling “emas” untuk belajar Islam juga sebenarnya pada fasa ini. Bukan masa kecil, bukan masa kita duduk dalam kelas sebab kena paksa. Tapi masa kita mula rasa, saya sendiri nak faham. Selalunya ini berlaku bila kita masuk IPT atau lepas habis sekolah. Hidup mula berubah, tak ada siapa paksa, tak ada cikgu kejar, dan mak ayah pun tak sentiasa memerhati. Di sinilah bermula satu titik penting, kita bukan lagi sekadar ikut, tapi kita mula mencari.
Bezanya sangat besar. Bila kita ikut, kita mudah berhenti bila suasana hilang. Tapi bila kita mencari, kita akan terus berjalan walaupun kita bersendirian. Di situlah beza antara iman pinjam dengan iman yang benar-benar milik kita. Realitinya, ramai antara kita masuk IPT tetapi tidak masuk fasa mencari. Kita masih tunggu orang suap, masih tunggu suasana. Akhirnya hidup berjalan, tetapi jiwa kita kosong.
Padahal pada waktu ini, fikiran kita sudah matang. Kita sudah mampu bertanya kenapa saya perlu solat, kenapa Islam melarang sesuatu, dan kenapa hidup saya terasa kosong walaupun semuanya nampak baik. Hakikatnya, Islam tidak pernah takut dengan soalan-soalan ini. Islam bukan sekadar menyuruh kita ikut, tetapi mengajar kita untuk faham. Masalahnya, kita sendiri tidak memberi ruang untuk faham. Kita berhenti pada tahap tahu, tetapi tidak naik kepada faham, apatah lagi merasai.
Sedangkan pada fasa inilah kita sedang membina arah hidup kita. Kalau kita tidak tetapkan arah sekarang, jangan pelik jika beberapa tahun akan datang hidup kita terasa kelam. Kita mungkin ada kerja, ada gaji, ada kawan, tetapi jiwa tetap kosong. Sebab dari awal, kita tidak pernah menetapkan arah. Ilmu yang kita pelajari ketika muda bukan sekadar untuk peperiksaan, tetapi akan menjadi penapis dan perisai dalam hidup kita apabila berdepan dengan fitnah dunia, tekanan kerja dan ujian kehidupan.
Sebab itu saya lihat fasa IPT atau selepas sekolah bukan fasa untuk cuba-cuba hidup, tetapi fasa untuk membina diri. Kalau kita tidak bina diri sekarang, dunia akan membentuk kita nanti. Dan dunia tidak pernah peduli kita jadi apa. Ia akan membentuk kita mengikut arus, trend dan nafsu. Akhirnya kita hidup, tetapi bukan sebagai diri kita yang sebenar. Jadi selagi kita masih ada ruang, walaupun sedikit dan perlahan, jangan sia-siakan. Kita belajar, kita faham, kita cari. Kerana ini bukan sekadar belajar agama, tetapi usaha untuk kita kenal diri sebelum dunia menentukan siapa kita.
Tarbiah Daily
Tiada Hari Tanpa Tarbiah