Kuota BUDI95 mungkin dikurangkan lagi kepada 150 liter - Liew Chin Tong
Mahanum Abdul Aziz
May 12, 2026 @ 2:54pm
KUALA LUMPUR: Kuota penggunaan bahan api RON95 bulanan di bawah program BUDI95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sejajar usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.
Walaupun tiada garis masa yang diberikan untuk potensi pengurangan itu, ia boleh dilaksanakan memandangkan program BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci, sekali gus membolehkan kerajaan melakukan pelarasan subsidi dan pengurusan bekalan secara lebih fleksibel mengikut keperluan semasa.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata data penggunaan semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan jauh lebih sedikit daripada paras kuota semasa.
Beliau berkata, kuota penggunaan pada masa ini ialah 200 liter sebulan, dikurangkan daripada paras kuota sebelum ini sebanyak 300 liter.
"Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat didapati amat minimum apabila data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
"Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Malah, 50 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 100 liter," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi 'Fireside Chat' bertajuk 'Malaysia's Response to Global Energy Crisis: Build Back Better' di 'AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026' anjuran AFFIN Group, di sini, hari ini.
Chin Tong berkata, usaha mengurangkan penggunaan bahan api dianggap penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar yang lebih terkawal.
Beliau berkata, adalah penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan sekiranya harga bahan api meningkat mendadak.
Katanya, golongan pengguna motosikal misalnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan perlu terus menikmati kadar subsidi tinggi bagi mengelakkan tekanan kos sara hidup yang lebih besar.
Malah, tambahnya, pendekatan itu juga dilihat penting dari sudut kestabilan sosial dan politik negara, khususnya bagi memastikan golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api telah melonjak hampir 10 kali ganda apabila harga minyak mentah melonjak dengan peningkatan mendadak dalam konflik geopolitik Asia Barat pada akhir Februari.
Dalam pada itu, Chin Tong juga menegaskan bahawa kerajaan masih dalam perancangan mekanisme subsidi diesel yang disasarkan untuk Sabah dan Sarawak, sama seperti bahan api BUDI95.
Katanya, dalam jangka masa panjang, negara harus mempercepatkan pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi dan perancangan bandar yang lebih padat untuk mengurangkan kebergantungan minyak jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau berkata program BUDI95 bukan sekadar mekanisme subsidi bersasar bahan api, sebaliknya sebagai alat penting untuk mengurus permintaan dan memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi sekiranya konflik geopolitik global berpanjangan.
Menurutnya, berkata data penggunaan yang diperoleh menerusi BUDI95 kini memberi gambaran lebih jelas mengenai corak penggunaan bahan api rakyat Malaysia, sekali gus membantu kerajaan membuat pelarasan subsidi secara lebih tepat mengikut keadaan semasa.
Chin Tong berkata, fokus utama ketika ini bukan semata-mata isu fiskal atau pengurangan beban subsidi kerajaan, sebaliknya memastikan bekalan bahan api negara dapat dikekalkan untuk tempoh lebih panjang sekiranya peperangan atau ketegangan global terus berlarutan.
Justeru, katanya, usaha mengurangkan penggunaan bahan api dianggap penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar yang lebih terkawal.