Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah, terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu ku budung badang, siah kiri siah kanak, siahkan keinderaku, aku tahu asal engkau jadi, darah ular sekati munur, asa engkau jadi…
Selepas nenek membacakan serapahnya perempuan itu menggeleng-geleng kepala terus berubah mukanya hingga berkedut-kedut kulit. Dia merenung tajam dengan dendam yang membakar. Tetapi belum sempat dia melakukan sesuatu terhadap nenek, dia tiba-tiba menggeletar apabila di atas tebing tercegat lelaki berjubah putih memegang buah tasbih.
Perempuan itu cuba melompat terbang, tetapi kakinya bagaikan terlekat di pasir sungai. Terkial-kial dia mahu melepaskan diri dengan mulut merungut-rungut marah. Setiap kali dia cuba berkuat di kelilingnya air mendidih laksana terjerang di dalam kawah.
“Tak patut Tok Syeikh buat aku macam ni,” gerutu perempuan hodoh yang menjelma macam Ucu Nawa. “Jembalang macam kau bukan boleh dibuat baik!” jerkah Tok Syeikh berjubah putih itu menuding telunjuk kearah perempuan tersebut. “Kenapa kau ganggu Siti Fatimah ni? “ dia mencemik muka sambil mengusap-usap janggutnya yang panjang sampai ke dada.
“Aku tak ganggu Bidan Ibah,” sahut perempuan itu tersengih-sengih semacam mengejek.
“Apa yang kau buat tu?” bentak Tok Syeikh menjuruskan tangannya hingga memancar api menyala menerjah ke muka perempuan berkenaan.
Terjerit kesakitan perempuan tua di tengah air apabila mukanya disambar api yang memancar dari tapak tangan Tok Syeikh. Dia cuba melompat tetapi kakinya masih terlekat tidak dapat di gerakkan langsung.
“Bila masa aku ganggu kau bidan Ibah?” terketar-ketar perempuan hodoh itu sebaik sahaja Tok Syeikh melepaskan dia daripada terjahan api menyala.
Nenek tidak menyahut. Dia membacakan serapahnya:
Hai saudaraku yang berempat, berlima dengan aku, Keraman di kanan ku Kerabin di kiri aku, Muakib di hadapan aku, Mukarabin di belakang aku, engkau bela pelihara aku….
kemudian dia lantas mengusap tangan ke muka.
Ketika ini perempuan tersebut terpikik-pekik menetap matanya. Semakin dia mengosok ke situ, matanya memercik darah menyebabkan dia menggapai-gapai tangan. Air liurnya melejeh-lejeh bercampur nanah setiap kali mengombak-ombak bernafas seperti lembu disembelih.
“Nasib baik Tok Syeikh cepat datang,” perempuan hodoh itu mengejek dalam terketar-ketar kesakitan. “Kalau tidak tahulah nasib kau Bidan Ibah!” katanya mahu mengancam nenek.
“Cuba kau ganggu Siti Fatimah,” lantas Tok Syeikh membentak sambil menghentak tumitnya ke tanah. Sekali gus pula kaki perempuan hodoh itu tenggelam ke pasir hingga paras lutut.
“Kenapa Tok Syeikh buat aku macam ni?” dia bersuara lembut seolah-olah mengalah.
“Sebab kau nak tunjuk pandai dengan aku!” sahut Tok Syeikh keras. “Ingat kalau kau berani usik Siti Fatimah ni, ke lubang angin manapun kau pergi aku akan cari…!” tegas Tok Syeikh mengisar tapak tangannya, tiba-tiba sahaja kepala perempuan tua itu berpusing seperti dipulas kuat.
“Aku minta maaf lah Tok Syeikh, aku tak buat lagi,” gementar suara perempuan itu menahan kesakitan akibat lehernya berpusing dipulas sampai terteleng kepala tidak dapat bergerak.
“Jembalang macam kau ni, memang tak pernah serik!” marah benar Tok Syeikh apabila perempuan hodoh yang dipanggilnya jembalang itu mengelirukan nenek dengan menjelma menyerupai Ucu Nawa. Hampir terpedaya nenek hingga menyerahkan uri tembuni itu kepadanya.
Kalau nenek terlambat sudah tentu habis uri tembuni itu dimakannya. Pada penglihatan mata kasar perempuan tua hodoh itu semata-mata memakan uri tembuni, tetapi sebenarnya dia memakan darah di dalam rahim Namilah.
Ketika ini jugalah Namilah terjerit kesakitan dengan darahnya tumpah tidak berhenti. Tergesa-gesa anak Seman Bauk yang berumur sepuluh tahun berkejar ke rumah neneknya Ucu Nawa memberitahu. Sebaik mendengar menantunya pengsan akibat tumpah darah, tidak bertangguh Ucu Nawa balik semula ke rumah Seman Bauk.