Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) KOGURU 2026 Berjaya Dilaksanakan
Terengganu | 13 Mac 2026 – Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (KOGURU) berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) Tahun 2026 di seluruh kawasan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Mesyuarat yang berlangsung dari 6 Februari hingga 13 Mac 2026 itu melibatkan sembilan kawasan iaitu Kuala Nerus, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu 1 (Sekolah Rendah), Kuala Terengganu 2 (Sekolah Menengah), Kemaman dan Dungun.
Menurut Setiausaha KOGURU, Haji Juhari bin Ismail, MAK tahun ini mencatat satu pencapaian baharu apabila dilaksanakan secara hibrid, sekali gus membolehkan anggota menyertai mesyuarat sama ada secara fizikal ( ALK) atau dalam talian ( anggota ) dari lokasi masing-masing.
“Alhamdulillah, MAK 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil komitmen dan kerjasama semua anggota, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) serta warga kerja KOGURU,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Haji Samsudin bin Ismail, Pengerusi Kehormat, Haji Rohadi bin Jusoh, Bendahari Kehormat, semua Anggota Lembaga, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), ANGKASA, serta kakitangan dan pasukan teknikal KOGURU yang berjaya mengendalikan mesyuarat secara hibrid buat julung kalinya.
Pelaksanaan ini memerlukan kemahiran tinggi dalam penggunaan teknologi terkini termasuk pengurusan siaran dan penyelarasan mesyuarat secara maya. Walaupun beroperasi dari studio yang kecil namun lengkap dengan kemudahan teknikal, pasukan teknikal KOGURU berjaya memastikan setiap sesi mesyuarat berjalan lancar dan teratur di semua kawasan.
MAK 2026 melabuhkan tirai dengan berakhirnya Mesyuarat Agung Kawasan Dungun yang diadakan pada hari ini, sekali gus menandakan selesainya keseluruhan siri mesyuarat di semua kawasan.
KOGURU turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota yang memberi kerjasama dan penyertaan aktif dalam MAK ini sehingga memperkukuhkan semangat kebersamaan serta tadbir urus koperasi yang lebih mantap. Sebarang kekurangan sepanjang pelaksanaan mesyuarat ini juga dipohon kemaafan.
KOGURU berharap semangat kerjasama ini akan terus diperkukuhkan dalam usaha memacu kecemerlangan koperasi demi manfaat seluruh anggota pada masa hadapan.
InshaAllah. Jumpa tahun 2027 MAK yang akan diadakan secara bersemuka.
Salam Aidilfitri
Maaf Zahir Batin.