Dalam halaqah, saya sebenarnya ada satu cara yang lebih kurang sama untuk semua murid.
Tetapi ada seorang murid yang saya layan sedikit berbeza.
Saya sendiri tak pasti kenapa. Entah bagaimana, saya agak segan dengan dia. Bila dia tak hantar tasmik, saya tak panggil. Bila dia tidur, saya tak kejutkan. Saya biarkan sahaja, bebas guna caranya sendiri. Dalam hati saya rasa seperti ada satu perasaan hormat yang kuat pada dia.
Saya fikir tindakan itu betul.
Tetapi lama-kelamaan saya sedar ada sesuatu yang tak kena.
Murid lain berada dalam aliran dan sistem yang sudah jadi “trade mark” halaqah saya, dipanggil, ditegur, kadang-kadang kena jerkah juga bila tidur, atau tak hantar tasmik dan murajaah.
Malah kalau mereka nak naik juzuk baharu tanpa melalui proses yang saya tetapkan pun saya akan tahan. Biasanya selepas habis satu juzuk, mereka perlu berhenti sekejap untuk murajaah dan lalui proses Mukhtar Khatam.
Tetapi murid ini sedikit berbeza.
Dia tak dimarahi, juga tak ‘disentuh’.
Rupa-rupanya tanpa sedar saya sedang melakukan satu kesilapan yang besar.
Dengan membiarkannya bebas, saya sebenarnya sedang meletakkan dia di luar gelanggang halaqah.
Sampailah satu hari saya ambil keputusan untuk berjumpa dia secara personal. Saya bercakap secara jujur dan saya beritahu apa yang saya nampak dan apa yang saya harapkan daripada dia.
Bukan marah. Taklah ceramah panjang pun...
Hanya bercakap sebagai seorang guru yang masih percaya muridnya boleh jadi lebih baik.
Selepas perbualan itu, saya buat satu perubahan pada diri saya sendiri.
Saya mula melayan dia seperti murid yang lain.
Kalau dia tak hantar tasmik, saya panggil namanya.
Kalau dia tak murajaah, saya tegur.
Kalau dia tidur, saya kejutkan.
Ringkasnya, saya masukkan dia semula ke dalam sistem halaqah yang sepatutnya.
Menariknya, perubahan mula berlaku.
Dalam psikologi pendidikan, ada satu teori dipanggil “Pygmalion Effect”, iaitu apabila harapan dan perhatian guru boleh mempengaruhi tingkah laku dan prestasi murid. Apabila seorang murid dipanggil namanya, ditegur, diminta membaca atau diberi tanggungjawab, itu memberi mesej bahawa guru masih meletakkan harapan padanya.
Kadang-kadang kita fikir teguran itu agak kasar. Tetapi bagi seorang murid, teguran yang adil sebenarnya tanda bahawa guru masih peduli, masih sayang.
Pengalaman ini mengajar saya satu perkara yang sangat sederhana tetapi sangat besar nilai dan impaknya.
Kadang-kadang murid tak perlukan macam-macam teknik hafazan pun. Mereka hanya perlukan rasa bahawa mereka masih berada dalam circle ini, dipanggil, ditegur dan diharapkan.
Dan saya belajar satu perkara lagi sebagai guru.
Kadang-kadang menghormati murid bukan dengan membiarkannya bebas, tetapi berani menuntut sesuatu daripada dirinya.
Che Azizi Che Kadir
7 Mac 2026