Taktik turunkan nombor kaunter berjaya kekang sindiket 'counter setting' - JIM Johor
Johor Bahru: Taktik unik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menurunkan semua papan tanda nombor fizikal pada kaunter pintu masuk sempadan di selatan tanah air terbukti berjaya mengurangkan aduan salah laku counter setting membabitkan pegawai dan anggota.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, langkah serampang dua mata itu diambil selepas pihaknya mengenal pasti helah sindiket yang dikesan mengatur pergerakan warga asing menerusi rantaian pegawai dalaman yang tidak berintegriti.
Beliau berkata, sindiket itu dikesan membekalkan maklumat awal kepada pendatang tanpa izin sebelum mereka tiba di negara ini untuk terus menuju ke nombor kaunter tertentu, tanpa mengenali identiti pegawai yang bertugas menjaga kaunter.
"Sindiket akan mengarahkan pengembara ini, contohnya, 'sebaik turun kapal terbang, terus tuju ke kaunter tujuh'. Di kaunter khusus itulah urusan kemasukan haram mereka akan diuruskan oleh pegawai yang telah menerima umpan wang ringgit lumayan.
"Sebagai langkah balas, kami ambil tindakan berani dengan menurunkan semua nombor kaunter di pintu masuk kita. Sekarang, kaunter-kaunter ini langsung tidak memaparkan sebarang nombor," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, bagi tahun lalu sebanyak 20 pegawai dikenakan tindakan tatatertib apabila terbabit dalam aktiviti counter setting manakala lima akibat flying passport.
Mohd Rusdi ketika mengulas mengenai tindakan tatatertib itu berkata, ia diambil sebagai penampan atau amaran kepada pegawai lain agar tidak melakukan perbuatan sama.
"Apabila tindakan tegas dan hukuman ini dilaksanakan, ia akan menjadi satu penampan kepada pegawai-pegawai lain. Mereka sudah tahu dan melihat sendiri rakan mereka dikenakan tindakan. Jadi, mereka akan takut dan berfikir dua kali sebelum cuba melakukan kesalahan sama," katanya.
Mohd Rusdi berkata, perang terhadap kelompongan integriti itu akan diteruskan secara berkala memandangkan pengembara yang membolosi pintu masuk tanpa saringan sah itu berisiko membawa penyakit berjangkit berbahaya atau mungkin penjenayah dikehendaki seperti pengganas atau perompak.
Dalam pada itu, Mohd Rusdi turut meminta orang awam agar terus bertindak sebagai "mata dan telinga" jabatan, dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pembabitan masyarakat dan mereka boleh mengemukakan laporan atau aduan secara rasmi menerusi pelbagai saluran sedia ada termasuk e-mel, talian hotline, kaunter aduan fizikal serta Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
"Saya juga beri jaminan 100 peratus kalau pegawai dan kakitangan saya lapor salah laku integriti, kami akan pastikan kerahsiaan itu dijaga dengan baik. Mereka juga boleh buat aduan kepada pihak ketiga seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.
Disiarkan pada: Mei 23, 2026 @ 3:26pm