☆Tadabbur Kalamullah 1 Zulkaedah 1447H☆
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita" [Surah al-Baqarah 274]
#Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata: "Allah swt menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak, maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan" (Lihat: Tafsir al-Munir)
#Sebagai umat Nabi saw yang diutuskan Allah sebagai rahmat bagi sekalian alam, selain diperintah bersedekah atau berbuat baik kepada sesama manusia, kita juga diperintahkan agar bersedekah atau berbuat baik kepada sekalian makhluk Allah, hatta kepada haiwan belaan atau haiwan liar. Baginda Nabi saw pernah ceritakan kisah orang yang mendapat keampunan Allah sehingga dimasukkannya ke dalam syurga atas sebab berbuat baik kepada haiwan dengan memberi minum anjing yang kehausan.
#Terdapat sebuah kisah yang diinukil oleh pengarang Hasyiah al-Qalyubi, Imam Syihabuddin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi asy-Syafie al-Mishri dalam karyanya an-Nawadir:
"Ada seorang lelaki yang tinggal di Samarqand. Suatu hari dia telah jatuh sakit yang parah sehingga dia pun bernazar. Nazarnya adalah sekiranya Allah menyembuhkan dia daripada sakit tersebut, dia akan bersedekah pada setiap hari Jumaat buat orang tuanya. Maka dia telah diberi kesembuhan dan dalam masa yang panjang, dia sentiasa menjaga dan menunaikan nazarnya tersebut pada setiap hari Jumaat. Namun, pada satu Jumaat, dia tidak memperolehi sesuatu apa pun untuk disedekahkan walaupun dia telah penat berkeliling seharian mencari sesuatu untuk disedekahkan atas nama orang tuanya. Maka dia pun pergi meminta fatwa daripada beberapa ulamak dan mereka berkata kepadanya: "Pergilah engkau mendapatkan kulit-kulit tembikai dan basuhlah ia dengan air. Kemudian bawa kulit tembikai tersebut ke jalan yang dilalui penduduk luar kota/pendalaman untuk memasuki kota dan berikan kepada keldai-keldai mereka serta jadikan ganjaran pahalanya buat kedua orang tuamu. Itulah caranya engkau keluar daripada melanggar nazarmu".
Lelaki tersebut pun melakukan hal sedemikian. Pada malam Sabtu (yakni malam selepas dia melakukan hal tersebut) lelaki tadi telah bermimpi ayah dan ibunya datang memeluknya dan keduanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, engkau telah melakukan segala yang baik untuk kami sehinggalah memberi kami makan buah tembikai yang kami inginkan. Semoga Allah meredhaimu."
(Nota: Kisah ini hanyalah sebuah cerita yang direkodkan oleh seorang ulamak, bukan hadis atau nas syarak yang perlu dibahaskan. Percaya atau tidak, terpulang kepada masing-masing, tidak perlu diperbalahkan. Fokus utama ialah manfaat atau teladan yang dapat dicontohi daripada kisah tersebut)
#Tersebut dalam Fatwa Mufti Kerajaan Johor, jilid 1, halaman 277, jawapan daripada mantan Mufti Johor, almarhum Datuk Sayyid Alwi bin Thahir al-Haddad:
Soal: Apakah hukumnya kita memberi makan binatang, adakah seperti sedekah atau macam mana?
Jawab: Wajib atas seseorang mengeluarkan belanja kerana binatang kepunyaannya dan ia beroleh pahala daripada Allah kerana itu. Dan berbelanja kerana binatang sekalipun seekor burung nescaya dapat pahala.
♡Bersedekahlah kepada seluruh makhluk Allah samada manusia, haiwan atau tumbuhan. Semoga segala sedekah kita, samada besar atau kecil, menjadi sebab keselamatan kita di akhirat dan menjadi naungan kita sewaktu di Padang Mahsyar menunggu hisab. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah