Alhamdulillah. Salah satu aspek kehidupan yang paling menyentuh jiwa adalah kehilangan orang-orang yang kita cintai. Dan kadang-kadang, mereka bukan dari kalangan keluarga kita sendiri. Bahkan boleh jadi mereka adalah insan yang kita ambil manfaat darinya sepanjang hidup, walaupun kita tidak pernah bertemu secara langsung.
Namun kali ini, kita telah kehilangan seorang tokoh besar dalam komuniti kita. Salah satu cahaya yang bersinar dalam kalangan para ulama dan orang-orang bijaksana, iaitu seorang filsuf dan cendekiawan besar dari Malaysia. Alhamdulillah, saya diberi kesempatan mengenalinya sejak awal perjalanan keislaman saya.
Hampir lima puluh tahun yang lalu, sekitar penghujung tahun 1970-an, saya mula diperkenalkan dengan karya-karyanya. Ia memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya. Saya merasakan hutang budi yang besar terhadapnya.
Saya juga diberi peluang bertemu dengannya beberapa kali ketika berkunjung ke Malaysia. Antara kenangan yang paling berharga dalam hidup saya adalah saat-saat duduk bersamanya, menghabiskan malam dalam perbualan, pembelajaran dan perbincangan yang penuh makna.
Beliau seorang insan yang sangat cerdas dan luar biasa dalam pelbagai bidang. Jika ada istilah manusia yang serba boleh, maka ia sangat layak disandarkan kepada beliau. Beliau bukan sekadar seorang ahli falsafah.
Beliau juga seorang arkitek, seorang kaligrafer yang halus, pencinta budaya Melayu dan seorang sejarawan yang mendalam ilmunya. Beliau juga seorang penyair. Seorang yang sangat teliti terhadap setiap perincian dalam kehidupan.
Pada masa yang sama, beliau pernah menjadi seorang pegawai tentera. Beliau mendapat latihan di Sandhurst di England dan berkhidmat dalam angkatan tentera Melayu. Namun jiwanya cenderung kuat kepada kehidupan intelektual, lalu beliau mendalami ilmu dengan bersungguh-sungguh sehingga sampai kepada penerokaan dimensi spiritual dan hubungan antara akal dan ruh, seterusnya meraih gelar doktor falsafah.
Antara gurunya adalah tokoh besar dalam bidang bahasa Arab dan Parsi serta penterjemah Al-Qur’an, AJ Arberry, serta Martin Lings, seorang sarjana, penterjemah dan penyair yang sangat unggul.
Alhamdulillah, saya juga pernah berpeluang mewawancarainya, mungkin antara sedikit wawancara yang pernah beliau berikan. Wawancara itu dilakukan dalam sebuah program bersama Asa Bogari, seorang pembikin filem dari Arab Saudi. Ia merupakan pengalaman yang sangat bermakna, duduk bersama seorang insan yang penuh hikmah dan mendengar sendiri mutiara kata darinya.
Saya melihat beliau telah menulis antara karya yang sangat penting dalam membantu kita memahami wacana Islam moden dan keadaan zaman ini. Antaranya buku Islam and Secularism, yang pada pandangan saya wajib dibaca oleh setiap Muslim yang ingin memahami krisis semasa kerana ia menyentuh akar permasalahan.
Beliau menjelaskan bahawa kekeliruan dalam memahami Islam dan pandangan hidup Islam membuka ruang kepada kemunculan pemimpin-pemimpin yang tidak benar, lalu melahirkan ketidakadilan. Keadaan ini terus dipelihara kerana ia memastikan kesinambungan golongan tersebut dalam menguasai urusan umat.
Secara ringkas, beliau merumuskan bahawa masalah besar yang kita hadapi hari ini berpunca daripada tiga perkara.
Pertama, kekeliruan dalam ilmu dan pengetahuan.
Kedua, yang melahirkan kehilangan adab dalam masyarakat.
Ketiga, daripada kedua-dua itu lahir pemimpin yang tidak layak memimpin, yang tidak memiliki ketinggian moral, intelektual dan spiritual, lalu mereka mengekalkan keadaan tersebut demi kelangsungan kuasa.
Beliau sangat memahami makna adab, iaitu meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya. Antara perkara yang saya perhatikan darinya adalah keteraturan dalam hidupnya. Rumahnya tersusun. Perpustakaannya indah dan teratur. Bahkan cara berpakaian beliau juga mencerminkan hal itu. Beliau benar-benar menghidupkan apa yang diajarkan.
Saya sangat bersyukur dapat mengenalinya, belajar darinya dan mengambil manfaat daripada ilmunya. Ini adalah saat yang sesuai untuk kita mendoakannya.
_Syeikh Hamzah Yusuf
#darulmujtaba